Ini adalah di antara keratan - keratan akhbar yang saya petik dari Berita Harian Online dan Utusan Malaysia Online. Page ini diadakan bukan untuk saya menunjukkan rasa protes, tetapi sebagai tatapan kepada pelajar Malaysia di oversea semoga ia dapat membantu pelajar - pelajar seperti saya di dalam menangani masalah yang kita hadapi sekarang ini.

So, siapa - siapa yang baca tu, bolehlah kasik pandangan sikit. Tulis aje dalam saya punya guest book. Saya teringin sangat nak dengar pandangan orang lain tentang hal ni nih. Thanks.

Sekarang, anda boleh memilih berita yang anda ingin baca.

BERITA HARIAN
8,000 pelajar Mara ke IPT tempatan
Mara tidak panggil pulang pelajar
MARA mahu tubuh university

UTUSAN MALAYSIA
953 pelajar Mara masuk IPT tempatan
MARA tubuh universiti - Bagi melengkapkan peranan mendidik bumiputera
Kerajaan tidak tergesa-gesa bawa pulang pelajar
12,000 pelajar tidak akan dipanggil pulang

Back to my homepage


Berita Harian Online
Selasa 10 Februari 1998   12 Syawal 1418
Bersama-sama Membangunkan Negara

8,000 pelajar Mara ke IPT tempatan

KUALA LUMPUR, Isnin - Semua 8,000 pelajar tajaan Mara di luar negara dan dalam persediaan belajar di institusi pengajian tinggi (IPT) di sana, disahkan akan diserap ke dalam IPT tempatan.

Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Mustapa Mohamed, berkata Mara sudah mengenal pasti tempat kepada kumpulan pertama membabitkan 3,800 pelajar yang sedang menjalani program persediaan ke luar negara.

"Kita telah selesai berbincang dengan institusi pengajian tempatan untuk menempatkan mereka dengan kerjasama Kementerian Pendidikan.

"Saya sudah arahkan Mara memaklumkan pelajar terbabit mengenai kedudukan mereka dalam tempoh dua minggu ini. Setakat ini, 29 pelajar sudah diserapkan ke Universiti Islam Antarabangsa," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Kumpulan kedua seramai 4,200 pelajar yang belajar di luar negara turut terbabit dalam proses itu.

"Mara sedang meneliti kes pelajar terbabit satu persatu. Ini termasuk di mana mereka belajar dan bidang yang diambil. Mara diberi tempoh tiga minggu untuk mengemukakan cadangan bagaimana kes ini boleh diselesaikan," katanya.

Mustapa berkata, Mara sudah menubuhkan jawatankuasa bertindak dengan meminjamkan sekumpulan kakitangan ke bahagian berkenaan bagi menyelesaikan tugas berkenaan secepat mungkin.

"Mereka mula bergerak sejak lima minggu lalu dengan kerjasama Kementerian Pendidikan," katanya.

Setakat ini, kira-kira 70 peratus pelajar tajaan Mara belajar di United Kingdom dan Amerika Syarikat. Bakinya termasuk di Australia, New Zealand, Jepun, Asia Barat dan Indonesia.

to go back to the top page


Berita Harian Online
Khamis 12 Februari 1998   14 Syawal 1418
Bersama-sama Membangunkan Malaysia

Mara tidak panggil pulang pelajar

KUALA LUMPUR, Rabu - Isu memanggil pulang 4,200 pelajar tajaan Mara di luar negara bagi menyambung pelajaran di dalam negara tidak berbangkit, kata Menteri Pembangunan Ushawan, Datuk Mustapa Mohamed.

Sehubungan itu, beliau meminta pelajar berkenaan serta keluarga mereka supaya tidak bimbang mengenai kemungkinan mereka dipanggil pulang.

Menurutnya, sebuah jawatankuasa yang diselaras oleh Kementerian Pendidikan,Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Mara sedang menjalankan kajian bagi mendapatkan maklumat mengenai pelajar Malaysia di luar negara.

Beliau berkata, hasil kajian berkaitan maklumat asas seperti jumlah pelajar, bidang pelajaran dan tempat belajar itu dijangka dapat disiapkan dalam tempoh tiga minggu dan akan dikemukakan kepada kerajaan untuk keputusan.

"Cuma kajian saja untuk mengumpul maklumat, tidak ada keputusan untuk memanggil mereka pulang, semua pihak tidak perlu risau," katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian Imej Ceria Kompleks Pertama di sini, hari ini.

Mara kini membelanjakan RM262 juta bagi menaja 4,200 pelajarnya di luar negara.

Ramai pelajar tajaan Mara di luar negara kini dilaporkan bimbang dan kecewa berikutan khabar angin yang mengatakan mereka akan dipanggil pulang berikutan kegawatan ekonomi dan kejatuhan nilai ringgit.

Mereka didapati melepas perasaan dan bantahan mereka di ruangan bicara dalam Internet serta mengirim E-mail kepada Mustapa.

Difahamkan, Mara tidak menghadapi masalah menaja pelajarnya yang kini berada di luar negara kerana hampir 2,800 daripada 4,200 pelajar akan menamatkan pengajian tahun ini dan akan pulang mulai Julai depan.

Mengenai masalah pemberian francais, Mustapa berkata kementeriannya akan memperkenalkan Akta Francais pada sesi kedua persidangan Parlimen yang dijadualkan pada Jun dan Julai depan.

Beliau berkata, pada masa ini tiada peruntukan undang-undang khusus bagi mengawal aktiviti pemberian francais oleh pihak terbabit.

"Walaupun kementerian ada menetapkan syarat tertentu untuk dipatuhi semua pihak terbabit tetapi ia tidak boleh dikuatkuasakan," katanya.

Terdahulu, dalam ucapan perasmiannya, Mustapa berkata kerajaan dan Uda Holdings Sdn Bhd (Uda Holdings) akan terus memberi perhatian yang sewajarnya kepada peniaga Bumiputera.

Sehubungan itu, belia menggesa perniaga terbabit yang kini menyewa premis di 11 kompleks beli-belah milik Uda Holdings supaya berusaha meningkatkan perniagaan mereka bagi mendapatkan pulangan lebih tinggi.

Beliau berkata, kementeriannya juga akan berbincang dengan perniaga terbabit mengenai bantuan pinjaman yang boleh diberi.

"Pinjaman kurang RM50,000 tiada masalah... kepada mereka yang berjaya kita akan memberi pertimbangan khas untuk pinjaman melebihi jumlah itu," katanya.

Hadir sama pada majlis itu ialah timbalannya, Idris Jusoh; Pengerusi Uda Holdings, Datuk Mohd Zihin Mohd Hassan; pengarah urusannya, Datuk Abdul Razak Hussain; dan wakil usahawan Kompleks Pertama.

Program Imej Ceria Kompleks Pertama adalah usaha Uda Holdings menaikkan taraf 42 lot kedai di Bazar Pertama yang disewakan kepada peniaga Bumiputera dengan belanja RM3 juta.

to go back to the top page


953 pelajar Mara masuk IPT tempatan

KUALA LUMPUR 12 Feb. - Mara akan membawa balik 953 orang pelajar tajaannya di luar negara untuk meneruskan pengajian di institusi pengajian tinggi awam dan swasta di negara ini.

Pengerusi Mara, Datuk Othman Abdul berkata, terdapat 4,200 pelajar tajaannya di luar negara dan mereka yang akan dipanggil balik termasuklah dari Amerika Syarikat, United Kingdom dan Ireland.

Katanya, langkah membawa balik pelajar itu telah dibincangkan bersama dengan Kementerian Pendidikan dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) baru-baru ini.

''Lebih ramai pelajar akan dibawa pulang sekiranya terdapat kekosongan di institusi pengajian tinggi tempatan,'' katanya pada majlis jamuan Hari Raya Aidilfitri dan Tahun Baru Cina di ibu pejabat Mara di sini hari ini.

Beliau menjangkakan, Mara dapat menjimatkan RM10 juta setahun jika dapat membawa pelajar-pelajar tajaannya di luar negara tetapi terpaksa membelanjakan RM35 juta sekiranya pelajar berkenaan dikekalkan.

Bagaimanapun Mara tidak akan membawa balik pelajar yang berada di tahun akhir serta mereka yang mengikuti kursus khas seperti perubatan dan kejuruteraan kerana pelajar-pelajar berkenaan perlu menamatkan pengajian di sana.

Tambah beliau lagi, walaupun belum ditentukan masa bagi membawa balik pelajar berkenaan tetapi Mara akan berusaha melakukannya secepat mungkin memandangkan pengambilan pelajar baru akan diadakan pada November depan.

to go back to the top page


Berita Harian Online
Rabu 4 Mac 1998   5 Zulkaedah 1418
Hidup Bebas Tanpa Rokok

Mara mahu tubuh universiti

KUALA LUMPUR, Selasa - Mara akan menubuhkan universitinya sendiri bagi menampung keperluan pelajar Bumiputera, khususnya dalam bidang sains dan teknologi.

Sebagai permulaan, Mara secara usaha sama dengan Universiti Telekom Malaysia (Unitele), akan menaikkan taraf Kolej Mara Banting dengan memperkenalkan program prauniversiti Unitele dalam bidang sains dan sains pengurusan.

Pengerusinya, Datuk Othman Abdul, berkata langkah itu akan menjadikan kampus cawangan Unitele di KBM sebagai Universiti Mara (Unimara) dalam tempoh dua hingga tiga tahun akan datang.

"Universiti ini akan melengkapi peranan Mara dalam memberi pendidikan kepada pelajar Bumiputera, yang bermula daripada tingkatan satu hingga peringkat tertinggi.

"Cadangan itu akan dibincangkan dalam mesyuarat majlis Mara akhir bulan ini sebelum ia dikemukakan kepada Kementerian Pembangunan Usahawan dan Kementerian Pendidikan," katanya kepada pemberita selepas menandatangani Memorandum Persefahaman dengan Mimos Berhad dan Unitele, di sini hari ini.

Melalui perjanjian itu, Unitele akan mengendalikan program prauniversiti bagi Mara sebelum Mara menubuhkan universitinya secara bersendirian.

Mara diwakili Othman manakala Mimos oleh Presidennya, Datuk Dr Tengku Mohd Azzman Shariffadeen Tengku Ibrahim dan Unitele oleh Presidennya, Prof Dr Ghauth Jasmon. Turut hadir adalah Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan, Idris Jusoh.

Othman berkata, penubuhan Unimara dapat membantu negara memenuhi permintaan terhadap lebih banyak tempat di institusi pengajian tinggi. Ia juga selaras dengan keputusan kerajaan untuk mengurangkan penghantaran pelajar ke seberang laut.

Menurutnya, Kolej Mara Banting dipilih sebagai sebagai kampus induk Unimara, kerana kawasannya seluas 21.25 hektar mampu menjadikan sebuah universiti sains dan teknologi yang lengkap.

"Konsep pengajian di Unimara menekankan aspek kejuruteraan, komputer dan sains seperti Universiti Teknologi Malaysia (UTM)," katanya.

Beliau berkata, pengambilan pelajar Unimara nanti tidak semestinya lepasan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) atau Kolej Mara tetapi terbuka kepada mana-mana pelajar Bumiputera yang layak.

Othman juga berkata, Mara akan menjadikan semua MRSM dan Kolej Mara sebagai model Sekolah Bestari dengan usaha sama Mimos Berhad, bagi mewujud, membangun dan melaksanakan program pembelajaran berpersekitaran berasaskan IT.

Tiga MRSM iaitu di Jasin, Taiping dan Pangkalan Chepa terpilih untuk menjalani program percubaan Sekolah Bestari selama tiga bulan, membabitkan 1,600 pelajar tingkatan empat.

Menurutnya, MRSM Jasin akan menjadi perintis kepada program itu sebelum ia dilaksanakan di MRSM yang lain di seluruh negara.

Mimos akan bertindak sebagai penyelaras dengan membekalkan kepakaran dan perisian program pemelajaran berasaskan teknologi maklumat (IT) serta menyediakan latihan kepada guru terbabit.

to go back to the top page


4 Mac 1998

Mara tubuh universiti -- Bagi melengkapkan peranan mendidik bumiputera

KUALA LUMPUR 3 Mac - Majlis Amanah Rakyat (Mara) bercadang menubuhkan universitinya sendiri untuk melengkapkan sistem pendidikan Mara dan menampung keperluan pendidikan negara.

Pengerusi Mara, Datuk Othman Abdul berkata, universiti yang mungkin dikenali sebagai Universiti Mara atau ringkasnya UniMara adalah selaras dengan keputusan kerajaan untuk mengurangkan penghantaran pelajar ke luar negara.

Katanya, kertas cadangan penubuhan universiti itu akan diketengahkan pada mesyuarat Majlis Mara pada 24 Mac nanti sebelum dikemukakan kepada Kementerian Pembangunan Usahawan dan seterusnya kepada Kementerian Pendidikan.

Menurutnya, dengan keupayaan Mara selama hampir 30 tahun berkecimpung dalam industri pendidikan, maka amat wajar bagi institusi itu mewujudkan sebuah universiti bagi mengisi perkembangan pendidikan sekarang.

''Ini akan melengkapkan lagi peranan Mara dalam menyediakan peluang pendidikan kepada pelajar bumiputera bermula dari tingkatan satu hinggalah ke peringkat tertinggi,'' katanya.

Beliau menyatakan demikian kepada pemberita selepas menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) di antara Mara dengan MIMOS Berhad (MIMOS) dan Universiti Telekom (Unitele) di ibu pejabat Mara, di sini, hari ini.

Othman memberitahu, lokasi untuk universiti itu telah dikenal pasti di kampus Kolej Mara Banting (KMB) kerana berdekatan dengan ibu negara dan mempunyai keluasan yang cukup untuk kewujudan sebuah kampus universiti.

''Dengan kemudahan infrastruktur seperti bangunan asrama dan pengajian yang sedia ada, kampus KMB boleh dinaik taraf sebagai universiti memandangkan kampus seluas 45 ekar itu boleh menampung lebih banyak kemudahan.

''Lagipun, dengan pemberhentian program persediaan seperti A Level dan International Baccalaureate (IB) di kolej itu, sepatutnya ia diisi dengan program ijazah dan kursus universiti,'' kata Othman.

Katanya lagi, universiti itu kelak memilih konsep pengajian berteraskan sains dan kejuruteraan dengan menawarkan kursus-kursus teknikal, kejuruteraan, perubatan dan kursus lain yang berkaitan; dengan memberi keutamaan kepada bekas pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM).

Pada majlis menandatangani MoU itu, MIMOS diwakili oleh Presidennya, Datuk Dr. Tengku Mohd. Azzman Shariffadeen sementara Unitele diwakili oleh Presidennya, Prof. Dr. Ghauth Jasmon dan turut hadir ialah Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan, Idris Jusoh dan Ketua Pengarah Mara, Datuk Nik Mohd. Affandi Nik Yusoff.

MoU di antara Mara dan MIMOS merupakan perkongsian bijak yang bertujuan mewujud, membangun dan melaksanakan program pembelajaran dan pengajaran berpersekitaran Teknologi Maklumat (IT) di MRSM dan Kolej-kolej Mara (KM).

Menurut Othman, peringkat percubaan projek itu berlangsung selama tiga bulan di tiga MRSM iaitu MRSM Jasin, MRSM Taiping dan MRSM Pengkalan Chepa yang melibatkan pelajar-pelajar tingkatan empat dan lima.

Sementara itu, Tengku Mohd. Azzman Shariffadeen berkata, pihak MIMOS akan mewujudkan konsep pembelajaran secara bufet (buffet learning) yang menyediakan maklumat bagi proses pembelajaran 4A iaitu anytime, anywhere, anyone dan anything.

Melalui konsep itu, Tengku Mohd. Azzman Shariffadeen berharap dapat merealisasikan hasrat kerajaan dalam mewujudkan sekolah bestari dan di MRSM, mewujudkan MRSM bestari atau Bitara.

Beliau mengajak semua pihak termasuk guru-guru, pihak pentadbir sekolah, ibu bapa dan keluarga turut serta dalam program itu secara berterusan bagi memastikan sekolah bestari menjadi kenyataan.

Sementara itu, Mara yang diwakili oleh pengerusinya turut menandatangani MoU dengan Unitele bagi menempatkan pelajar-pelajar universiti itu untuk kursus pra ijazah pengurusan dan bidang sains di Kolej Mara Banting.

Menurut Dr. Ghauth Jasmon, dengan termeterainya memorandum itu bermakna KMB menjadi kampus cawangan Unitele yang keempat selepas Kolej Inti, Kolej Antarabangsa dan Yayasan Pelajaran Mara (YPM).

Katanya, ia adalah permulaan bagi rancangan jangka panjang bagi memberikan KMB pilihan dalam melaksanakan program ijazah Unitele dan seterusnya beroperasi sebagai sebuah Kolej Universiti.

Oleh: NOR ZAINAH NORDIN

to go back to the top page


Ahad, 14 Mac 1998

Kerajaan tidak tergesa-gesa bawa pulang pelajar

BUTTERWORTH 14 Mac - Kerajaan tidak akan mengambil tindakan tergesa-gesa dalam soal memanggil pulang para pelajar yang sedang melanjutkan pengajian di luar negara.

Menteri Pendidikan, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, pihaknya memberi jaminan bahawa walau apa pun tindakan yang diambil oleh kerajaan, ia tidak akan menjejaskan pendidikan para pelajar berkenaan.

Beliau berkata, kedudukan pelajar-pelajar tempatan di luar negara masih dalam penelitian pihak kerajaan yang hanya akan mengambil tindakan memanggil mereka pulang selepas mengambil kira pelbagai aspek.

''Antaranya ialah mengenai bidang pengajian yang diikuti pelajar-pelajar di luar negara serta kemampuan universiti awam dan universiti swasta menawarkan kursus yang bersesuaian kepada mereka di samping kelayakan pelajar dan soal pemindahan.

''Kita tidak mahu membuat keputusan dalam keadaan tergesa-gesa sebab apa yang kita utamakan sekarang ialah kepentingan pelajar itu sendiri supaya pelajaran mereka tidak terganggu atau terjejas berikutan apa juga keputusan yang kita akan ambil nanti,'' katanya.

Beliau yang juga Naib Presiden UMNO berkata demikian kepada para pemberita selepas merasmikan Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Bagan di sini, hari ini.

Najib enggan mengulas lanjut mengenai isu itu kerana tidak mahu menimbulkan kerisauan dan kebimbangan di kalangan pelajar yang berada di luar negara.

''Bila kerajaan sudah membuat penelitian yang rapi, setelah saya berunding dengan Perdana Menteri dan timbalannya, barulah kita boleh memberikan satu kenyataan,'' katanya.

to go back to the top page


Sabtu, 28 Mac 1998

12,000 pelajar tidak akan dipanggil pulang

YAN 28 Mac - Lebih 12,000 pelajar Malaysia yang sedang menuntut di luar negara tidak akan dipanggil pulang walaupun kerajaan menghadapi masalah kewangan ekoran kegawatan ekonomi sekarang.

Menteri Pendidikan, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kesemua pelajar tajaan kerajaan itu akan meneruskan pengajian sehingga mereka memperoleh ijazah.

Keputusan itu katanya, diambil oleh kerajaan selepas memikirkan kesan-kesan yang mungkin dihadapi oleh para pelajar terlibat yang kebanyakannya menuntut di United Kingdom (UK) dan Amerika Syarikat (AS).

''Kalau kita panggil mereka pulang, ia boleh mengganggu prestasi pengajian dan psikologi mereka,'' katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Yan di sini hari ini.

Menurutnya, kerajaan juga membenarkan kira-kira 1,000 pelajar yang sedang mengikuti program A Level di luar negara meneruskan pengajian, dengan syarat mereka mendapat tempat di universiti yang cemerlang dan terkemuka sahaja. Jika tidak katanya, mereka akan menuntut di universiti tempatan yang kosnya 25 peratus lebih murah berbanding kos pengajian universiti luar negara tambahan pula kualitinya setanding.

''Pelajar terlibat merupakan mereka yang ditaja oleh Kementerian Pendidikan, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Majlis Amanah Rakyat (Mara), Petronas dan Tenaga Nasional Berhad (TNB),'' ujarnya.

Bagi penuntut lepasan ijazah yang sudah berada di luar negara katanya, mereka boleh terus berada di negara berkenaan sehingga pengajian mereka selesai.

''Saya harap keputusan ini dapat melegakan para pelajar yang sedang berada di luar negara dan juga ibu bapa mereka,'' katanya.

Dalam pada itu Najib memberitahu, kerajaan telah meluluskan peruntukan tambahan sebanyak RM500 juta untuk program pendidikan luar negara.

Katanya, keputusan tidak menghantar lagi pelajar ke luar negara ekoran kegawatan ekonomi masih dikekalkan dan langkah itu berjaya menjimatkan wang kerajaan kira-kira RM153 juta.

Menjelang tahun 2001, katanya, jumlah pelajar yang akan berada di luar negara adalah sekitar 400 hingga 500 orang sahaja.

Langkah tidak menghantar pelajar ke luar negara juga jelas beliau, selaras dengan hasrat kerajaan yang mahu menjadikan Malaysia sebagai pusat kecemerlangan pendidikan.

Oleh: NIZAM HAMID

to go back to the top page